Sebagaimana
yang kita tahu, kemiskinan bandar terjadi kerana peningkatan kos taraf hidup
yang terlalu tinggi. Namun terdapat pelbagai cara untuk mengatasi masalah
kemiskinan bandar. Antaranya ialah pelengkapkan diri dengan kelulusan yang
tinggi. Tidak dinafikan taraf pendidikan pada masa kini amat dipandang berat
dalam masyarat. Taraf pendidikan yang tinggi
adalah salah satu langkah yang perlu diambil untuk menempatkan diri
dalam sektor pekerjaan. Pendidikan adalah jalan yang ditempuh oleh seseorang
untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik dan mengubah status sosial yang
lebih tinggi. Pendidikan sangat penting bagi menjamin seseorang itu mendapat
pekerjaan dengan pendapatan yang tinggi. Namun, persaingan yang tinggi bagi
mendapatkan pekerjaan pada masa kini menjadikan golongan yang berpendidikan
tinggi juga tidak terkecuali menjadi penganggur. Namun begitu, bagi seseorang
yang berpendidikan peluang untuk mendapatkan tempat dalam sektor pekerjaan
samada sektor kerajaan mahupun sektor swasta masih terbuka luas. Peluang untuk
mencapai cita-cita juga masih ada walaupun persaingan amat sengit.
Selain
melengkapkan diri dengan pendidikan secara formal kita juga perlu memiliki
kemahiran-kemahiran tertentu. Pada masa kini terdapat banyak institusi yang
diwujudkan dengan tujuan untuk melahirkan belia Bumiputera yang berkemahiran
dalam pelbagai bidang teknikal dan kemahiran bagi melayakkan mereka berkhidmat
dalam sektor perdagangan, perusahaan dan perindustrian disamping mewujudkan
bakal-bakal usahawan. Institusi-institusi ini dibina untuk memberi peluang
kepada remaja dan belia yang tidak berpeluang melanjutkan pendidikan,
mendapatkan kelulusan dan kemahiran untuk melayakkan mereka untuk berkhidmat
dengan syarikat-syarikat swasta. Selaras dengan perkembangan di dalam dunia
pendidikan yang diterajui oleh perkembangan ekonomi berasaskan teknologi,
negara memerlukan lebih ramai pekerja berpengetahuan atau "knowledge
workers". Di samping itu perkembangan teknologi juga menyebabkan
syarikat-syarikat pembuatan dan perindustrian yang memberi sumbangan besar
terhadap mengadakan peluang-peluang pekerjaan, mengubah keperluan sumber
manusia mereka daripada "tukang pasang" atau "assembly
workers" kepada pekerja berkemahiran tinggi atau highly-skilled workers.
Sehubungan dengan itu, aliran kemahiran menjadi penting di dalam program
pembangunan sumber manusia dan secara langsung merupakan satu laluan yang
selari dengan aliran akademik dan ini membolehkan lepasan sekolah menengah
membuat pilihan tentang haluan dan bidang kerjaya yang hendak mereka ceburi.
Dalam
mengatasi masalah ini pihak kerajaan telah menubuhkan satu kementerian yang
berperanan dalam memperkukuhkan dan memperluas program pembasmian kemiskinan
bandar. Sebagai contoh di Malaysia, Kementerian Wilayah Persekutuan dan
Kesejahteraan Bandar ialah satu kementerian yang ditubuhkan untuk menyediakan
satu pelan tindakan komprehensif dan
melaksanakan program yang bersesuaian untuk menangani masalah kemiskinan bandar
di seluruh negara. Kementerian ini bersama beberapa agensi lain turut
mengadakan pelbagai program untuk membantu masyarakat bandar dalam usaha
meningkatkan pendapatan bagi perlaksanaan pembasmian kemiskinan.
Kawasan setinggan merupakan salah
satu penempatan penduduk yang amat popular bagi penduduk yang berpendapatan
rendah. Perpindahan penduduk ke kawasan
bandar yang mengakibatkan kepesatan dan pertambahan penduduk sehingga tidak
dapat menampung permintaan perumahan mampu milik oleh golongan yang
berpendapatan rendah. Kepadatan penduduk ini mengakibatkan pembinaan
rumah-rumah setinggan secara tidak sah di atas tanah milik kerajaan, swasta
ataupun milik orang perseorangan. Rentetan itu pihak kerajaan telah mengambil
langkah dengan mengadakan Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) dan
mengadakan projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi mengawal dan menempatkan semula
setinggan dan memberi kemudahan serta meringankan beban kepada golongan miskin.
Golongan miskin ini diberi bantuan dengan rumah yang lebih selesa dan boleh
dimiliki dengan harga yang lebih murah dan mampu milik.
Migrasi
penduduk yang pesat berhijrah ke kawasan bandar adalah disebabkan untuk mencari
peluang pekerjaan untuk mengubah nasib keluarga atau diri, namun kerana
kebanyakan mereka tidak mempunyai kelulusan yang baik, akhirnya mereka ini
tidak mampu bersaing dan terus berada dalam perangkap kemiskinan. Justeru itu,
pihak kerajaan telah mengambil langkah dengan membangunkan kawasan pinggir
bandar untuk mengurangkan kadar aliran migrasi masuk tanpa kawalan ke pusat
bandar. Pusat Trasformasi Luar Bandar (RTC) merupakan salah satu usaha kerajaan
untuk mengurangkan migrasi penduduk luar bandar ke bandar. RTC ialah pusat
kemudahan yang ditubuhkan untuk menggabungkan kampung-kampung yang berdekatan
dalam pelaksanaan aktiviti-aktiviti bercorak nilai-tambah yang tinggi. Di RTC,
penduduk-penduduk tempatan akan dapat, menjual produk pertanian berbentuk
nilai-tambah tinggi secara terus, membeli bekalan dan perkhidmatan untuk
pengguna pada harga yang rendah, mendapat kemahiran, menjalani latihan dan
program pembangunan keusahawaan, mendapat kemudahan bantuan kewangan dan
perkhidmatan lain secara terus dan berkongsi serta bertukar maklumat dan
pengetahuan. Dengan adanya fasiliti sebegini penduduk kampung boleh
mengusahakan hasil kerja tangan dan tanaman sayur-sayuran tanpa perlu berhijrah
ke bandar di samping dapat menjana pendapatan. Kemudahan seperti infrastruktur
dan perkhidmatan yang dibina di kawasan tersebut agar pembangunan yang dibuat
adalah mengikut perancangan yang cekap dan lebih efisien. Pembinaan seperti
jalan raya dan kemudahan-kemudahan lain memudahkan masyarakat yang tinggal di
situ menggunakan kemudahan yang disediakan. Tidak ketinggalan juga mereka yang
tinggal di luar bandar turut sama-sama dapat menikmati kemudahan yang
disediakan kerana jalan perhubungan yang dibina. Oleh sebab itu, peluang
pekerjaan tidak akan tertumpu di pusat bandar sahaja dan ini dapat mengurangkan
migrasi penduduk luar bandar terus ke pusat bandar kerana mereka juga mendapat
peluang untuk bekerja di kawasan pinggir bandar dengan pelbagai sektor
pekerjaan.
Program karnival
kerjaya juga sering diadakan sebagai salah satu langkah untuk mengatasi masalah
kemiskinan bandar. Karnival ini dianjurkan oleh pihak kerajaan adalah bertujuan
untuk memberi peluang kepada mereka yang belum mendapat pekerjaan atau yang telah
bekerja. Karnival ini biasanya akan disertai oleh syarikat-syarikat yang akan
menawarkan jawatan kosong dalam pelbagai bidang mengikut kelulusan, dengan ini
orang ramai terutamanya golongan belia boleh merebut peluang memilih pekerjaan
yang ditawarkan mengikut kelulusan mereka. Selain itu, karnival sebegini
merupakan salah satu langkah yang mampu mengurangkan kadar pengangguran dalam
kalangan belia di bandar malah di luar bandar . Karnival seperti ini merupakan
satu idea yang sangat memberangsangkan untuk menarik lebih ramai golongan belia
yang tidak bekerja terutamanya. Oleh itu, para belia yang telah tamat belajar
dan belum mempunyai pekerjaan perlulah sentiasa cakna akan iklan-iklan jawatan
kosong terkini dan menghadiri program seperti ini bagi mengelakkan diri
daripada menjadi penganggur. Oleh sebab itu, program seperti karnival kerjaya
ini merupakan langkah proaktif pihak kerajaan bagi mengurangkan masalah
kemiskinan yang berlaku terutamanya belia yang merupakan golongan yang ramai
untuk dijadikan sebagai aset negara yang mampu membendung masalah ini.
Bagi
membasmi Kemiskinan Bandar, proses pembangunan ekonomi sesebuah negara sering
meletakkan matlamat serampang dua mata, yakni peningkatan pendapatan dan
pengagihan pendapatan yang baik. Pengagihan pendapatan yang baik tidak
semestinya sama rata. Malah, menjadi lumrah ekonomi pasaran bebas mempunyai
ramai rakyatnya yang kaya. Jadi kayu ukur utama di dalam isu pengagihan
kekayaan negara dengan baik adalah dengan membasmi atau sekurang-kurangnya
mengurangkan kadar kemiskinan.
Dua
perkara terdedah kepada kedinamikan pembangunan ekonomi perlu diambil
perhatian. Pertama, pembangunan ekonomi menyebabkan lebih ramai penduduk
tinggal di bandar. Kedua, pembangunan ekonomi juga menyebabkan cara hidup dan
cita rasa penduduk juga turut berubah. Kini lebih dari dua pertiga rakyat
tinggal di bandar, berbanding dengan sebilangan besar rakyat yang hidup di luar
bandar di awal penubuhan Malaysia. Sejak dasar Ekonomi Baru diperkenalkan pada
tahun 1970, ramai penduduk luar bandar telah berhijrah ke bandar-bandar besar
yang mempunyai peluang ekonomi yang lebih cerah. Mereka berhijrah ke bandar
semata-mata ingin mendapatkan pekerjaan yang lebih bagus berbanding di luar
bandar.
Matlamat
utama kerajaan mewujudkan dasar penswastaan dan demokrasi pemilikan rumah ialah
untuk selain untuk meluaskan peranan sektor swasta dalam sistem pengagihan
rumah kos rendah ialah untuk memperluaskan pemilihan dan pemilikan rumah. Untuk
lebih menarik minat pihak swasta memasuki projek perumahan kos rendah, tanah
disediakan oleh pihak kerajaan dan ini akan menjimatkan lagi kos pembinaan
untuk memenuhi objektif sosial iaitu untuk membantu golongan miskin bandar. Dan
sejak Rangcangan Malaysia Keempat pihak swasta yang ingin mengadakan projek
perumahan diwajibkan oleh pihak kerajaan untuk membina sekurang-kurangnya 30
peratus perumahan kos rendah daripada keseluruhan projek mereka.
Namun
saya lebih berpendapat bahawa isu kemiskinan bandar lebih merupakan
tanggungjawab sosial kerajaan. Langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk
menangani masalah kemiskinan bandar haruslah dipuji kerana peratusan kemiskinan
berjaya dikurangkan dari awal pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) hingga
sekarang. Langkah tersebut temasuklah Program Pembangunan Rakyat Termiskin
(PPRT), penswastaan perumahan setinggan, dan juga mewujudkan beberapa intitusi
seperti Amanah Saham Bumiputera, Tabung Amanah IKHTIAR dan sebagainya.
Langkah
penswastaan kawasan setinggan merupakan langkah yang bijak dengan menetapkan
bahawa pemaju perumahan dimestikan membina 30% perumahan kos rendah
memandangkan kerajaan tidak mempunyai peruntukan yang mencikupi untuk membina
rumah kos rendah. Namun ini tidak dipatuhi sepenuhnya oleh pemaju kerana risiko
kerugian dan tidak mendapat untung yang lebih. Ini menimbulkan masalah
kepada pemaju yang mahukan keuntungan yang maksimum. Maka usaha ini tidak
berjaya sepenuhnya kerana masih wujud perumahan setinggan. Oleh itu, kerajaan
sepatutnya mengambil alih sepenuhnya tanggungjawab ini kerana ia adalah
tanggungjawab sosial kerajaan.
Sesungguhnya
kemiskinan merupakan satu masalah sosial yang patut ditangani oleh semua pihak.
Ini kerana ia merupakan tanggungjawab sosial yang membebani semua pihak untuk
diselesaikan. Kemiskinan merupakan satu masalah yang serius dan ia berkait
rapat dengan masalah-masalah yang lain seperti yang disebutkan sebahagiannya di
atas.
by,
Fourtin Dinsim.
3 comments:
saya dapat memahami apa yang telah saya kaji di atas.. terima kasih atas bantuan pembelajaran ini..
Thank you for this☺
Trimakasih
Post a Comment