Sunday, February 5, 2017

TEORI-TEORI PSIKOLOGI PENGURUSAN



Teori adalah serangkaian hipotesis tentang suatu atau sejumlah fenomena yang saling berhubungan. Teori ‘Hawthorne Effect’ (Mayo 1933) adalah Karya Elton B. Mayo yang terkenal adalah penemuan dalam Hawthorne Studies. Ia adalah pemahaman tentang organisasi sebagai suatu sistem. Mayo menyimpulkan bahawa nasalah motivasi dan respon emosi yang diakibatkan oleh situasi kerja adalah lebih penting dari pengaturan logik dan rasional dalam menentukan pengeluaran. Pemahaman ‘efek hawthorne’ ini menentukan bahawa perlakuan khusus boleh memberi kesan positif terhadap pekerja kerana faktor manusia yang mempengaruhinya. Ia menegaskan bahawa hubungan sosial dalam kelompok kerja adalah faktor terpenting dalam mempengaruhi kepuasan para pekerja terhadap kerjanya. Menurut Mayo, perlakuan manusia yang menunjukkan penghargaan memberi manfaat jangka panjang. Contohnya para pekerja dilibatkan dalam pengambilan keputusan memberi kesan positif. Ternyata keterlibatan peribadi dalam mencapai sasaran kerja telah mendorong peningkatan pengeluaran. Dengan itu pembangunan masyarakat yang boleh di adaptasi dan mudah menyesuaikan diri dengan tuntutan hasil pimpinan oleh orang-orang terlatih dengan keterampilan dan pemahaman sosial.

Teori ‘Hierarchy of needs’, dikemukan oleh Abraham Maslow yang memandang keperluan asas manusia dalam urutan piramid. Menurut Maslow, manusia termotivasi untuk memenuhi keperluan-kepeluan hidupnya bermula hirarki paling rendah sampai kepada hirarki paling tinggi. Iaitu keperluan fisiologi, kepeluan rasa selamat, keperluan dicintai dan disayangi, keperluan dihargai dan atas sekali keperluan estetika. Teori psikologi ini merupakan suatu teori motivasi manusia dan suatu keyakinan yang membuatkan perasaan keinginan timbul dan menyebabkan manusia melakukan suatu pemerhatian serta penelitian terhadap apa yang ingin dipelajari. Seterusnya ini akan meningkatkan motivasi untuk bekerja lebih keras dan mencapai apa yang diingini dalam hidup mereka.

Teori X dan Y dikemukakan oleh Douglas McGregor dalam buku The Human Side Enterprise di mana pengurus atau pemimpin organisasi perusahaan memiliki dua jenis pandangan terhadap para pegawai iaitu teori X dan Teori Y. Teori X menyatakan bahawa manusia adalah tidak suka bekerja atau menghindari pekerjaan serta tanggungjawab yang diberi kepadanya. Pekerja mempunyai cita-cita yang kecil untuk mencapai tujuan perusahaan tetapi menginginkan balasan serta jaminan hidup yang tinggi. Dengan ini para pekerja harus sentiasa diawasi serta diarahkan untuk bekerja sesuai dengan perusahaan. Setelah menyedari Teori X dengan itu McGregor memberikan alternatif lain iaitu Teori Y yang mempunyai tanggapan bahawa pekerja tidak perlu diawasi secara ketat kerana mereka memiliki keinginan dan kerahan diri untuk bekerja sesuai dengan perusahaan. Pekerja mempunyai kemampuan, kreativiti, imaginasi, kepandaian serta memahami tanggung jawab dan prestasi atas pencapaian tujuan kerja.

Personaliti membawa maksud sebagai satu fenomena yang kompleks yang dibina berasaskan fizikal, mental, etika dan kualiti sosial yang spesifik bagi seseorang individu (McKenna, 2006). Ia merangkumi kebiasaan, kepentingan, cita-cita, pendapat dan kepercayaan yang dipersembahkan kepada dunia luar termasuk cara individu tersebut memperlihatkan diri kepada orang lain. Personaliti juga merujuk kepada satu set ciri peribadi yang tersendiri termasuk motif, emosi, nilai, minat, sikap dan kecekapan dimana individu bertindak balas kepada dan berinteraksi dengan orang lain.

Perbezaan individu memainkan peranan yang penting di tempat kerja di mana setiap individu yang bekerja mempunyai personaliti, fizikal dan kebolehan mental yang berlainan. Perbezaan personaliti ini membantu majikan mengagihkan pekerjaan mengikut kesesuaian pekerjaan dan organisasi. Salah satu cara bagi mengatasi perbezaan individu supaya dapat membantu masalah di tempat kerja dengan memperolehi persekiran yang baik adalah menggunakan kaedah Big Five Personality Traits diperkenalkan oleh Goldberg, L. R. (1990). Secara ringkasnya, Big Five Personality Traits dapat dibahagikan kepada yang berikut. Big Five Personality Traits ini dapat membantu melihat individu mengikut personaliti masing-masing dan dapat menjadi satu permulaan yang baik bagi menggambarkan personaliti pekerja.

Openness 
Sering dikaitkan dengan kecerdasan minda, kebijaksanaan dan kreativiti (McCrae 1987). Selain itu, sikap ingin tahu, intelek, dan terbuka kepada idea-idea baru di tahap tinggi dan bagi individu yang kurang cenderung akan berfikiran sempit, biasa dan rendah diri. 

Conscientiousness 
Individu yang mempunyai tahap ‘Conscientiousness’ tinggi akan sistematik, menepati masa, teliti, kompeten, disiplin diri, bertimbang rasa dan boleh diharap. Individu yang cenderung kearah personaliti ini akan tekun, gigih bekerja, tabah dan berorientasikan pencapaian (Digman 1990). Personaliti ini turut dikaitkan dengan sikap berjaga-jaga, bertanggungjawab, terurus dan sentiasa terancang (Barrick & Mount 1991). Manakala yang tidak cenderung pula akan menjadi tidak teratur, tidak berhati-hati dan tidak boleh diharap (Digman 1990). 

Extraversion 
Individu yang mempunyai afektif positif yang tinggi sikap mereka banyak bercakap, pandai bergaul, tegas, bersemangat dan senang dengan keadaan sosial. Digman (1990) mengaitkan personaliti ini dengan status emosi yang positif. Sebaliknya, individu yang rendah tahap ‘extraversionnya’ suka memencilkan diri, penakut, tidak pandai bergaul, berhati-hati dan pendiam (Costa & McCrae 1992). Individu bercirikan ‘extraversion’ yang lemah mempunyai kepercayaan diri yang rendah, kehidupan yang kurang terurus dan tidak gemar bergaul dengan orang lain. 

Agreeableness 
Individu yang mempunyai tahap ‘agreeableness’ yang tinggi selalunya bersikap mesra, kerjasama, kejujuran, dan keramahan jujur, terus-terang, sederhana, patuh, sensitif, bertoleransi, pandai dan bersosial.Mereka yang rendah tahap ‘agreeableness’ bersikap dingin, sering bertelingkah dan suka bermusuhan (Costa & McCrae 1992). Selain itu, mereka juga cepat marah, syak wasangka dan tidak bekerjasama. 

Neuroticism 
Merupakan individu yang mempunyai sikap cemas, bimbang, berhati-hati, kelemahan, permusuhan, kemurungan cepat marah, panas baran dan sentiasa mempunyai angin yang tak baik ketika tahap ‘Neuroticism’ tinggi dan kestabilan emosi apabila rendah. 


Kaedah Myers-Briggs Type Indicator (MBTI) telah dibangunkan oleh Isabel Myers dan Katherine Briggs (1962). Ia merupakan soal selidik yang digunakan luas dalam perniagaan dan latihan yang memberi maklumat bagi pemahaman personaliti individu itu sendiri disamping individu yang sedang berinteraksi dan bekerja bersama. Terdapat empat personality traits (fungsi) yang asas iaitu :

Extroversion (E) atau introversion 
Adakah individu tersebut bergantung pada pengaruh luaran atau dalaman 

Intuition (N) atau Sensing (S) 
Sama ada individu tersebut lebih kepada suara hati atau deria 

Thinking (T) atau Feeling (F) 
Apa yang mempengaruhi keputusan individu? Pemikiran atau perasaan 

Judgement (J) atau Perception (P) 
Adakah individu mewujudkan jadual dan meyusun kehidupan atau berserah 


Myers (1987) mengakui tidak mungkin individu akan berada pada satu atau jenis yang lain. Seseorang individu mungkin berada di antara mana-mana kategori, extrovert atau introvert dan mungkin juga berupaya membuat keputusan secara objektif dan subjektif. MBTI masih menjadi pilihan dan amat terkenal terutamanya di bidang perniagaan dan kaunseling kerjaya dan peribadi. (Huszczo 2007). 

Persepsi adalah suatu proses yang subjektif dimana kita memilih, menyusun dan mantafsir rangsangan yang diterima dari persekitaran kita untuk menjadikannya bermakna. Persepsi peribadi adalah proses dimana seseorang individu itu mengaitkan ciri-ciri atau sifat-sifat terhadap individu lain. Macrae dan Bodenhausen (2000) mengatakan melalui persepsi peribadi, seseorang individu itu menilai berdasarkan pengetahuan dan kepercayaan mereka berbanding dengan ciri-ciri unik seseorang itu.

Persepsi boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu persepsi visual, persepsi diri dan persepsi sosial. Persepsi visual adalah keupayaan untuk mentafsir persekitaran dengan memproses maklumat yang terkandung dalam penglihatan dan pandangan kita. Persepsi diri pula merujuk kepada cara bagaimana kita memahami sikap dan kepercayaan kita sendiri berdasarkan tingkah laku kita dalam keadaan tertentu. Manakala persepsi sosial pula merujuk kepada bagaimana kita membentuk tanggapan dan kesimpulan tentang orang lain melalui maklumat yang kita kumpulkan dari penampilan fizikal, lisan, dan komunikasi bukan lisan.

Di tempat kerja, persepsi diamalkan apabila organisasi ingin mengambil atau memecat pekerja, serta menaikkan gaji atau pangkat pekerja. Sebagai contoh, jika seorang calon temuduga itu berpakaian selekeh walaupun mempunyai kelulusan akademik yang melepasi syarat, kita cenderung untuk berfikiran negatif terhadap calon tersebut dan berkemungkinan tidak mengambilnya bekerja di organisasi kita. Untuk memberikan kenaikan gaji atau pangkat pula, organisasi biasanya menilai prestasi kerja, tingkah laku dan kemahiran seseorang pekerja itu sama ada berbaloi kepada organisasi atau tidak.

Sikap ditakrifkan dalam pelbagai cara dan titik pusat kepada kebanyakan definisinya adalah tanggapan penilaian. Krech et al. (1962) mendefinisikan sikap sebagai satu sistem berpanjangan tentang penilaian positif atau negatif, emosi dan kecenderungan berkenaan dengan dunia sosial seseorang individu. Definisi ringkas berkenaan sikap dinyatakan oleh Makin et al. (1996) yang mengatakan “sikap merangkumi penilaian sama ada objek yang dirujuk disukai atau tidak”. Persepsi dan sikap adalah saling berkait kerana sikap boleh memberi kesan yang tersirat terhadap persepsi. Sikap kita di tempat kerja bergantung kepada perasaan ingin kerja. Oleh itu, memahami bagaimana perilaku seseorang individu itu bergantung kepada pemahaman terhadap sikapnya terhadap kerja. Sikap merujuk kepada pandangan, kepercayaan, dan perasaan kita mengenai aspek persekitaran kita. Di tempat kerja, dua sikap kerja yang berpotensi untuk mempengaruhi perilaku kita iaitu kepuasan kerja dan komitmen terhadap organisasi. 

Kepuasan kerja merujuk kepada perasaan orang lain terhadap kerja. Jika terdapat beberapa kajian mengenai kepuasan kerja dilakukan oleh organisasi, maka kepuasan kerja mungkin merupakan sikap kerja yang penting. Komitmen terhadap organisasi ialah hubungan emosi individu terhadap tempat kerja mereka. Kepuasan kerja dan komitmen terhadap organisasi sangat diperlukan kerana perkara-perkara yang membuat kita gembira di tempat kerja akan membuatkan kita lebih komited terhadap organisasi atau tempat kerja kita. Banyak organisasi percaya bahawa sikap ini perlu digalakkan kerana ianya berkait rapat dengan prestasi kerja, kerjasama antara rakan sekerja , ketidakhadiran dan kelembapan.

Bagi menangani variasi individu di tempat kerja sama ada dari segi personaliti, persepsi mahupun sikap, organisasi biasanya akan memberi motivasi dan menggalakkan komunikasi dan kerjasama yang baik antara pekerja. Keadilan dan kesaksamaan dalam pengurusan juga menjamin kepuasan kerja agar tidak ada yang berasa tertindas dan terpinggir. Semakin kurang kesan variasi individu ini maka semakin bagus prestasi sesuatu organisasi itu. Menjadi kebiasaan bagi kebanyakan organisasi untuk memberikan pengiktirafan dan ganjaran kepada pekerja bagi menggalakkan lagi keseronokan berkerja yang menjadi salah satu tonggak dalam organisasi.



by,
Fourtin Dinsim



RUJUKAN: 
Lisa Matthewman, Amanda Rose & Angela Hetherington (2009). “WORK PSYCHOLOGY –An Introduction to Human Behaviour in Workplace”. United States : Oxford University Press Inc.

Talya Bauer & Berrin Erdogan (n.d). “An Introduction To Organizational Behaviour”. Version 2.0. Boston, MA United States : Flat World Knowledge Inc.

John Arnold, Cary L. Cooper & Ivan T. Robertson (2004). “Work Psychology: Understanding Human Behaviour in thr Workplace”. Second Edition. Retrieved from http://tinyurl.com/joxlkkv

CARA & CADANGAN MENGATASI KEMISKINAN BANDAR

Sebagaimana yang kita tahu, kemiskinan bandar terjadi kerana peningkatan kos taraf hidup yang terlalu tinggi. Namun terdapat pelbagai cara untuk mengatasi masalah kemiskinan bandar. Antaranya ialah pelengkapkan diri dengan kelulusan yang tinggi. Tidak dinafikan taraf pendidikan pada masa kini amat dipandang berat dalam masyarat. Taraf pendidikan yang tinggi  adalah salah satu langkah yang perlu diambil untuk menempatkan diri dalam sektor pekerjaan. Pendidikan adalah jalan yang ditempuh oleh seseorang untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik dan mengubah status sosial yang lebih tinggi. Pendidikan sangat penting bagi menjamin seseorang itu mendapat pekerjaan dengan pendapatan yang tinggi. Namun, persaingan yang tinggi bagi mendapatkan pekerjaan pada masa kini menjadikan golongan yang berpendidikan tinggi juga tidak terkecuali menjadi penganggur. Namun begitu, bagi seseorang yang berpendidikan peluang untuk mendapatkan tempat dalam sektor pekerjaan samada sektor kerajaan mahupun sektor swasta masih terbuka luas. Peluang untuk mencapai cita-cita juga masih ada walaupun persaingan amat sengit.

Selain melengkapkan diri dengan pendidikan secara formal kita juga perlu memiliki kemahiran-kemahiran tertentu. Pada masa kini terdapat banyak institusi yang diwujudkan dengan tujuan untuk melahirkan belia Bumiputera yang berkemahiran dalam pelbagai bidang teknikal dan kemahiran bagi melayakkan mereka berkhidmat dalam sektor perdagangan, perusahaan dan perindustrian disamping mewujudkan bakal-bakal usahawan. Institusi-institusi ini dibina untuk memberi peluang kepada remaja dan belia yang tidak berpeluang melanjutkan pendidikan, mendapatkan kelulusan dan kemahiran untuk melayakkan mereka untuk berkhidmat dengan syarikat-syarikat swasta. Selaras dengan perkembangan di dalam dunia pendidikan yang diterajui oleh perkembangan ekonomi berasaskan teknologi, negara memerlukan lebih ramai pekerja berpengetahuan atau "knowledge workers". Di samping itu perkembangan teknologi juga menyebabkan syarikat-syarikat pembuatan dan perindustrian yang memberi sumbangan besar terhadap mengadakan peluang-peluang pekerjaan, mengubah keperluan sumber manusia mereka daripada "tukang pasang" atau "assembly workers" kepada pekerja berkemahiran tinggi atau highly-skilled workers. Sehubungan dengan itu, aliran kemahiran menjadi penting di dalam program pembangunan sumber manusia dan secara langsung merupakan satu laluan yang selari dengan aliran akademik dan ini membolehkan lepasan sekolah menengah membuat pilihan tentang haluan dan bidang kerjaya yang hendak mereka ceburi.

Dalam mengatasi masalah ini pihak kerajaan telah menubuhkan satu kementerian yang berperanan dalam memperkukuhkan dan memperluas program pembasmian kemiskinan bandar. Sebagai contoh di Malaysia, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar ialah satu kementerian yang ditubuhkan untuk menyediakan satu pelan tindakan komprehensif  dan melaksanakan program yang bersesuaian untuk menangani masalah kemiskinan bandar di seluruh negara. Kementerian ini bersama beberapa agensi lain turut mengadakan pelbagai program untuk membantu masyarakat bandar dalam usaha meningkatkan pendapatan bagi perlaksanaan pembasmian kemiskinan.

Kawasan setinggan merupakan salah satu penempatan penduduk yang amat popular bagi penduduk yang berpendapatan rendah.  Perpindahan penduduk ke kawasan bandar yang mengakibatkan kepesatan dan pertambahan penduduk sehingga tidak dapat menampung permintaan perumahan mampu milik oleh golongan yang berpendapatan rendah. Kepadatan penduduk ini mengakibatkan pembinaan rumah-rumah setinggan secara tidak sah di atas tanah milik kerajaan, swasta ataupun milik orang perseorangan. Rentetan itu pihak kerajaan telah mengambil langkah dengan mengadakan Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) dan mengadakan projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi mengawal dan menempatkan semula setinggan dan memberi kemudahan serta meringankan beban kepada golongan miskin. Golongan miskin ini diberi bantuan dengan rumah yang lebih selesa dan boleh dimiliki dengan harga yang lebih murah dan mampu milik.

Migrasi penduduk yang pesat berhijrah ke kawasan bandar adalah disebabkan untuk mencari peluang pekerjaan untuk mengubah nasib keluarga atau diri, namun kerana kebanyakan mereka tidak mempunyai kelulusan yang baik, akhirnya mereka ini tidak mampu bersaing dan terus berada dalam perangkap kemiskinan. Justeru itu, pihak kerajaan telah mengambil langkah dengan membangunkan kawasan pinggir bandar untuk mengurangkan kadar aliran migrasi masuk tanpa kawalan ke pusat bandar. Pusat Trasformasi Luar Bandar (RTC) merupakan salah satu usaha kerajaan untuk mengurangkan migrasi penduduk luar bandar ke bandar. RTC ialah pusat kemudahan yang ditubuhkan untuk menggabungkan kampung-kampung yang berdekatan dalam pelaksanaan aktiviti-aktiviti bercorak nilai-tambah yang tinggi. Di RTC, penduduk-penduduk tempatan akan dapat, menjual produk pertanian berbentuk nilai-tambah tinggi secara terus, membeli bekalan dan perkhidmatan untuk pengguna pada harga yang rendah, mendapat kemahiran, menjalani latihan dan program pembangunan keusahawaan, mendapat kemudahan bantuan kewangan dan perkhidmatan lain secara terus dan berkongsi serta bertukar maklumat dan pengetahuan. Dengan adanya fasiliti sebegini penduduk kampung boleh mengusahakan hasil kerja tangan dan tanaman sayur-sayuran tanpa perlu berhijrah ke bandar di samping dapat menjana pendapatan. Kemudahan seperti infrastruktur dan perkhidmatan yang dibina di kawasan tersebut agar pembangunan yang dibuat adalah mengikut perancangan yang cekap dan lebih efisien. Pembinaan seperti jalan raya dan kemudahan-kemudahan lain memudahkan masyarakat yang tinggal di situ menggunakan kemudahan yang disediakan. Tidak ketinggalan juga mereka yang tinggal di luar bandar turut sama-sama dapat menikmati kemudahan yang disediakan kerana jalan perhubungan yang dibina. Oleh sebab itu, peluang pekerjaan tidak akan tertumpu di pusat bandar sahaja dan ini dapat mengurangkan migrasi penduduk luar bandar terus ke pusat bandar kerana mereka juga mendapat peluang untuk bekerja di kawasan pinggir bandar dengan pelbagai sektor pekerjaan.

Program karnival kerjaya juga sering diadakan sebagai salah satu langkah untuk mengatasi masalah kemiskinan bandar. Karnival ini dianjurkan oleh pihak kerajaan adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada mereka yang belum mendapat pekerjaan atau yang telah bekerja. Karnival ini biasanya akan disertai oleh syarikat-syarikat yang akan menawarkan jawatan kosong dalam pelbagai bidang mengikut kelulusan, dengan ini orang ramai terutamanya golongan belia boleh merebut peluang memilih pekerjaan yang ditawarkan mengikut kelulusan mereka. Selain itu, karnival sebegini merupakan salah satu langkah yang mampu mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia di bandar malah di luar bandar . Karnival seperti ini merupakan satu idea yang sangat memberangsangkan untuk menarik lebih ramai golongan belia yang tidak bekerja terutamanya. Oleh itu, para belia yang telah tamat belajar dan belum mempunyai pekerjaan perlulah sentiasa cakna akan iklan-iklan jawatan kosong terkini dan menghadiri program seperti ini bagi mengelakkan diri daripada menjadi penganggur. Oleh sebab itu, program seperti karnival kerjaya ini merupakan langkah proaktif pihak kerajaan bagi mengurangkan masalah kemiskinan yang berlaku terutamanya belia yang merupakan golongan yang ramai untuk dijadikan sebagai aset negara yang mampu membendung masalah ini.

Bagi membasmi Kemiskinan Bandar, proses pembangunan ekonomi sesebuah negara sering meletakkan matlamat serampang dua mata, yakni peningkatan pendapatan dan pengagihan pendapatan yang baik. Pengagihan pendapatan yang baik tidak semestinya sama rata. Malah, menjadi lumrah ekonomi pasaran bebas mempunyai ramai rakyatnya yang kaya. Jadi kayu ukur utama di dalam isu pengagihan kekayaan negara dengan baik adalah dengan membasmi atau sekurang-kurangnya mengurangkan kadar kemiskinan.

Dua perkara terdedah kepada kedinamikan pembangunan ekonomi perlu diambil perhatian. Pertama, pembangunan ekonomi menyebabkan lebih ramai penduduk tinggal di bandar. Kedua, pembangunan ekonomi juga menyebabkan cara hidup dan cita rasa penduduk juga turut berubah. Kini lebih dari dua pertiga rakyat tinggal di bandar, berbanding dengan sebilangan besar rakyat yang hidup di luar bandar di awal penubuhan Malaysia. Sejak dasar Ekonomi Baru diperkenalkan pada tahun 1970, ramai penduduk luar bandar telah berhijrah ke bandar-bandar besar yang mempunyai peluang ekonomi yang lebih cerah. Mereka berhijrah ke bandar semata-mata ingin mendapatkan pekerjaan yang lebih bagus berbanding di luar bandar.

Matlamat utama kerajaan mewujudkan dasar penswastaan dan demokrasi pemilikan rumah ialah untuk selain untuk meluaskan peranan sektor swasta dalam sistem pengagihan rumah kos rendah ialah untuk memperluaskan pemilihan dan pemilikan rumah. Untuk lebih menarik minat pihak swasta memasuki projek perumahan kos rendah, tanah disediakan oleh pihak kerajaan dan ini akan menjimatkan lagi kos pembinaan untuk memenuhi objektif sosial iaitu untuk membantu golongan miskin bandar. Dan sejak Rangcangan Malaysia Keempat pihak swasta yang ingin mengadakan projek perumahan diwajibkan oleh pihak kerajaan untuk membina sekurang-kurangnya 30 peratus perumahan kos rendah daripada keseluruhan projek mereka.

Namun saya lebih berpendapat bahawa isu kemiskinan bandar lebih merupakan tanggungjawab sosial kerajaan. Langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk menangani masalah kemiskinan bandar haruslah dipuji kerana peratusan kemiskinan berjaya dikurangkan dari awal pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) hingga sekarang. Langkah tersebut temasuklah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), penswastaan perumahan setinggan, dan juga mewujudkan beberapa intitusi seperti Amanah Saham Bumiputera, Tabung Amanah IKHTIAR dan sebagainya.

Langkah penswastaan kawasan setinggan merupakan langkah yang bijak dengan menetapkan bahawa pemaju perumahan dimestikan membina 30% perumahan kos rendah memandangkan kerajaan tidak mempunyai peruntukan yang mencikupi untuk membina rumah kos rendah. Namun ini tidak dipatuhi sepenuhnya oleh pemaju kerana risiko kerugian dan tidak mendapat untung yang lebih.  Ini menimbulkan masalah kepada pemaju yang mahukan keuntungan yang maksimum. Maka usaha ini tidak berjaya sepenuhnya kerana masih wujud perumahan setinggan. Oleh itu, kerajaan sepatutnya mengambil alih sepenuhnya tanggungjawab ini kerana ia adalah tanggungjawab sosial kerajaan.


Sesungguhnya kemiskinan merupakan satu masalah sosial yang patut ditangani oleh semua pihak. Ini kerana ia merupakan tanggungjawab sosial yang membebani semua pihak untuk diselesaikan. Kemiskinan merupakan satu masalah yang serius dan ia berkait rapat dengan masalah-masalah yang lain seperti yang disebutkan sebahagiannya di atas.

by,
Fourtin Dinsim.

KESAN KEMISKINAN BANDAR

Terdapat beberapa kesan akibat kemiskinan di bandar. Kesan boleh dilihat melalui aspek kesan kepada ekonomi negara, kesan kepada sosial dan lain-lain kesan.

4.1.                       Kesan Terhadap Ekonomi
Bagi kesan dari segi ekonomi, kesan kemiskinan menyebabkan peningkatan perbelanjaan kerajaan. Perbelanjaan kerajaan yang meningkat ini adalah disebabkan kerajaan terpaksa menanggung perbelanjaan yang besar bagi membasmi kemiskinan. Perbelanjaan yang besar ini seterusnya akan menyebabkan aktiviti pembangunan yang lain terjejas kerana telah dibelanjakan bagi menampung kos program-program pembansiman kemiskinan.

4.2.                       Kesan Terhadap Sosial
Kesan dari segi sosial pula ialah anak-anak golongan yang miskin di bandar ini akan tercicir daripada mendapat peluang pendidikan. Kebanyakan daripada mereka terpaksa berhenti sekolah pada usia yang muda bagi membantu keluarga dari segi kewangan iaitu terpaksa bekerja. Hal ini juga akan menyebabkan mereka cenderung terlibat dengan aktiviti jenayah kerana mereka tidak mempunyai tahap pendidikan yang tinggi yang membolehkan mereka mendapat pekerjaan di sektor formal malah tidak mempunyai modal untuk menjalankan perniagaan. Akibat terdesak untuk hidup di kawasan bandar mereka terlibat dalam jenayah seperti jenayah pecah rumah.



4.3.                       Kewujudan Penempatan Setinggan
Kesan – kesan lain boleh dilihat dari segi bagi penduduk yang berpendapatan rendah ketiadaan kemudahan perumahan yang selaras dangan kemampuan merupakan suatu masalah yang sukar diatasi (Chamhuri Siwar, 1996). Ini memaksa kebanyakan daripada mereka untuk tinggal di kawasan setinggan. Apabila melihat dalam konteks taraf hidup, terutama dari segi keselesaan tempat tinggal, penduduk luar bandar yang miskin didapati lebih selesa berbanding dengan penduduk bandar miskin yang tinggal di kawasan setinggan. Oleh itu, berlakunya penempatan setinggan pada kadar yang sangat tinggi dan ianya merupakan kawasan kediaman yang tidak sah dari segi undang-undang; oleh itu bekalan kemudahan asas adalah kurang dan keadaan perumahan tidak tersusun (Nik Hashim, 1996).

4.4.                       Masalah Kemudahan Asas
Mereka yang tinggal di kawasan setinggan ini menghadapi pelbagai masalah terutama dari segi penyediaan kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik dan sebagainya. Rumah yang dibina pula di kawasan yang merbahaya dan selalunya di tapak tanah yang tidak sah dari segi undang-undang (Nor Aini, 2003). Apabila hal ini berlaku, maka alam sekitar masyarakat setinggan adalah tidak berkualiti, terutamanya dari segi kesesakan tempat tinggal kerana tiada sistem sanitasi dan kesihatan yang tidak terjamin.



4.5.                       Pencemaran Alam

Kesan-kesan lain juga dilihat adalah dari segi berlaku pencemaran alam. Golongan miskin yang mencemarkan alam sekitar kebanyakkannya terdiri daripada masyarakat setinggan yang serba kekurangan, terutamanya dari segi kemudahan awam. Keadaan tempat tinggal yang sesak dan tidak selesa, tingkat pendidikan yang rendah dan ketiadaan kemudahan asas menyebabkan golongan ini mudah dihinggapi penyakit. Mereka juga terpaksa mengenakan kesan luaran dalam bentuk pencemaran air dan udara kepada golongan pengguna lain apabila melakukan pembuangan sampah ke dalam sungai atau di kawasan sekeliling.



by,
Fourrtin Dinsim.

FAKTOR BERLAKUNYA KEMISKINAN BANDAR

Faktor-faktor kemiskinan bandar boleh dibahagikan kepada beberapa, antaranya:

3.1.                       Pengangguran
Penduduk luar bandar percaya bandar akan menawarkan peluang pekerjaan yang lebih baik. Majikan yang lebih taksub untuk menjimatkan perbelanjaan, mengambil pekerja dari luar bandar dengan bayaran gaji yang jauh lebih murah dari pekerja tempatan terutamanya dalam bidang pembinaan dan perindustrian. Mengikut data dan maklumat yang disiarkan di laman sesawang http://www.beritasemasa.com.my/pengangguran-malaysia-naik-buang-kerja, kadar pengangguran di Malaysia telah meningkat kepada 3.3% pada Januari 2016 meningkat sebanyak 0.1% daripada tahun 2015. Selain itu, seramai 26 ribu pekerja dibuang kerja dan dijangka akan meningkat pada tahun 2016. Keadaan ini akan meningkatkan lagi kadar kemiskinan bandar ke tahap yang lebih serius.

Pertumbuhan Tahunan,
% (sekiranya tidak dinyatakan)
2014
2015
2016
Keluaran Dalam Negeri Kasar Sebenar (KDNK)
6.0
5.0
4.31
Kadar Pengangguran, %
2.9
3.1
3.52
BOP Baki Akaun Semasa, % ke atas PNK
4.5
3.1
2.01
Eksport Dagangan
6.4
1.9
0.53
Import Dagangan
5.3
0.4
0.72
Indeks Harga Pengguna
3.2
2.1
1.52
Rizab Antarabangsa BNM, RM billion (bersih)
405.5
409.1
405.54
Keluaran Data Mingguan -Terkini (31 Okt- 04 Nov 2016)
Sumber data : http://www.epu.gov.my/ms





3.2.                       Penghijrahan
Migrasi dari luar bandar atau dari kawasan yang kurang peluang pekerjaan dan kebanjiran warganegara asing mengakibatkan tahap penawaran buruh melebihi permintaan. Penawaran buruh yang melebihi permintaan pekerjaan secara langsung menggalakkan penghijrahan ke bandar untuk mencari peluang pekerjaan dan tahap kehidupan yang seimbang. Namun begitu tidak semua boleh diserap secara formal. Mereka yang tidak dapat diserap memilih untuk bekerja dengan pekerjaan yang menawarkan pendapatan yang rendah atau sehingga ke tahap menganggur.

3.3.                       Tahap Pendidikan Dan Kesihatan Yang Rendah
Bagi penduduk dengan tahap pendidikan yang rendah, mereka mengambil pendekatan untuk berhijrah ke bandar dengan harapan peluang pendapatan yang lebih menguntungkan. Apabila penghijrahan dari luar bandar melebihi kadar populasi yang dapat ditampung oleh sesuatu kawasan, penduduk yang telah berhijrah mula mewujudkan penempatan mereka di kawasan-kawasan setinggan yang kurang tahap kebersihan, kemudahan asas, pendidikan dan pemantauan kesihatan yang minimum. Migrasi secara mendadak menyukarkan penduduk tersebut mendapat pendidikan yang berkesan. Pendapatan yang kurang juga menjadi salah satu punca penduduk migrasi sukar mendapat pendidikan yang sewajarnya. Rancangan pendidikan dan kesihatan tidak dapat disalur dengan berkesan ke penempatan di luar kawasan perancangan bandar. Ini juga mengakibatkan penyakit menular dengan cepat. Secara purata, kebanyakan penghijrahan yang melebihi takat purata kawalan kesihatan dan pendidikan akan mempengaruhi tahap kesihatan dan pendidikan yang menjadi sasaran bandar tersebut.

3.4.                       Saiz Isi Rumah Yang Besar
Saiz isi rumah juga memainkan peranan yang penting dalam faktor kemiskinan bandar. Tahap pengangguran yang tinggi akibat penghijrahan menjadikan purata yang berkerja dalam isi rumah amat terhad. Keperluan isi rumah tidak dapat dipenuhi kerana hanya beberapa ahli keluarga sahaja yang bekerja. Ini merupakan salah satu faktor kemiskinan bandar.

3.5.                       Krisis Ekonomi
Secara umumnya krisis ekonomi menjadi penyebab pelbagai masalah. Antaranya yang ketara adalah kemiskinan. Kadar inflasi yang meningkat menjadi laluan kepada peningkatan harga barangan dan secara automatik pemintaan menurun. Mengikut data yang diperolehi (seperti di bawah) dari laman sesawang http://www.tradingeconomics.com/malaysia/inflation-cpi, kadar infalasi di Malaysia meningkat paling tinggi pada bulan Februari 2016 iaitu 4.2% dan paling rendah pada bulan Julai 2016 iaitu 1.1%. Namun begitu ia meningkat kembali sehingga yang terkini pada bulan Oktober 1.4%. Kadar Inflasi yang tinggi akan menjurus kepada pemberhentian pekerja sebagai langkah berjaga dan penjimatan oleh majikan. Akhirnya golongan miskin yang akan sengsara berikutan keadaan krisis ekonomi ini.


Data inflasi di Malaysia dari laman sesawang http://www.indexmundi.com/g/g.aspx?c=my&v=71

Inflation rate (consumer prices) (%)

Country
1999
2000
2001
2002
2003
2004
2005
2006
2008
2009
2010
2011
2012
2013
Malaysia
2.8
1.7
1.5
1.9
1.1
1.3
3
3.8
5.4
0.6
1.7
3.2
1.7
2.2
Definition of Inflation rate (consumer prices): This entry furnishes the annual percent change in consumer prices compared with the previous year's consumer prices.
Source: CIA World Factbook - Unless otherwise noted, information in this page is accurate as of June 30, 2015

3.6.                       Pendapatan Rendah
Keadaan ekonomi yang tidak menentu memaksa penduduk bandar untuk mengeluarkan perbelanjaan yang melebihi pendapatan. Di samping itu, pengangguran dan pemberhentian kerja yang bertitik tolak dari sikap penjimatan majikan yang mengambil pendekatan mengupah pekerja asing yang jauh lebih murah menjadikan penduduk sedia ada meraih pendapatan yang sedikit. Dengan berbekalkan pendapatan yang tidak setaraf dengan perbelanjaan dan kadar kenaikan barangan yang tinggi memaksa mereka untuk berhutang. Penduduk menjadi sukar untuk mendapatkan keperluan asas sekaligus taraf hidup terjejas dan meningkatkan kemiskinan bandar.

3.7.                       Kekurangan Kemudahan Asas
Jika diteliti, keadaan seperti kekurangan kemudahan asas contohnya bekalan air, elektrik, pendidikan, kesihatan dan pengangkutan menjadi punca kepada faktor-faktor kemiskinan bandar yang lain. Kekurangan tersebut mempengaruhi penduduk luar bandar untuk keluar mencari dan memenuhi keperluan masing-masing. Perancangan yang teliti dan penstrukturan yang lengkap dapat mengatasi kebanyakan permasalahan yang menjerumus kepada kemiskinan bandar jika dapat dilaksanakan dengan teratur. Bencana alam juga memainkan peranan dalam kehilangan kemudahan asas tersebut.




by,
Fourtin Dinsim

KEMISKINAN BANDAR - DEFINISI DAN JENIS KEMISKINAN

Pentakrifan kemiskinan tidak dapat dinyatakan secara tepat dan mutlak kerana ia merupakan satu istilah yang subjektif. Namun begitu kemiskinan biasanya dikaitkan dengan kekurangan pendapatan, kesusahan dan ketidakmampuan individu dan isi rumah untuk memenuhi keperluan harian.

Walaubagaimanapun saya akan menumpukan kepada Kemiskinan Bandar. Kemiskinan Bandar merupakan masalah sosioekonomi yang dihadapi oleh semua negara. Malahan negara maju juga tidak terlepas dari mempunyai rakyat yang hidup di dalam kemiskinan. Isu kemiskinan ini berkait rapat dengan pengagihan kekayaan negara. Sebuah negara walaupun berpendapatan tinggi dengan pengagihan kekayaan yang tidak baik akan mempunyai ramai rakyatnya yang hidup di dalam kemiskinan. Ianya bukan sahaja melanda negara-negara miskin seperti Bangladesh, India dan Nepal malah kemiskinan juga menyerang negara-negara maju di Amerika Syarikat, England dan Jepun. Walaupun berbagai usaha yang dilakukan oleh banyak pihak untuk membasminya namun ianya tetap berlaku. Secara umumnya kemiskinan yang ditakrifkan oleh Charles Booth (disebut dalam Holman, 1978:3) sebagai seseorang yang hidup dalam keadaan yang susah untuk memenuhi keperluan-keperluan hidup yang mencukupi. Definisi ini menjelaskan hubungan antara kemiskinan dan ketidakmampuan dalam memenuhi keperluan yang minimum bagi mengekalkan kecekapan fizikal atau bagi memenuhi keperluan asas.

Ahli-ahli sosiologi pula tidak meletakkan pendapatan semata-mata sebagai asas ukuran mereka, tetapi juga pada faktor-faktor lain seperti agihan pendapatan dan peluang sosial. Mereka lebih menumpukan perhatian kepada dalam penghuraian sebab dan akibat kemiskinan yang dialami oleh sesuatu golongan. Contohnya aspek ketidakseimbangan sosial sebagai puncak kepada kepincangan ekonomi. Ketidaksamaan ini akan menjadi satu faktor kepada kepincangan sosial dalam masyarakat (Gunnan Myrdal, 1970). Sumbangan paling penting ahli sosiologi ialah bila mereka menentukan kemiskinan berdasarkan kepada kedudukan seseorang dalam masyarakat. Hal ini bermakna golongan miskin ialah yang berada di peringkat paling bawah dalam struktur stratifikasi masyarakat (lower less person). Lewis (Moyniham, 1969:182) menjelaskan bahawa golongan kelas bawahan ini mempunyai sifat dan ciri-ciri budaya tersendiri yang dikenali sebagai “culture of poverty”. Penjelasan ini memberikan gambaran tentang golongan miskin dan menunjukkan bahawa struktur stratifikasi masyarakat yang berbeza memainkan peranan penting kepada petunjuk kemiskinan dan ketaksamaan sosial.

Dr. Syed Hussin Ali (1964) pula berkata, golongan miskin adalah mereka yang mempunyai kelas, status sosial dan kuasa yang paling rendah dalam masyarakat. Golongan tersebut dikatakan miskin kerana pendapatan daripada kerja mereka tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan asas dan kemudahan sosial yang dimiliki sekurang-kurangnya pada kadar yang paling minimun. Kesimpulannya, menurut beliau, terdapat tiga faktor yang dapat dijadikan ukuran dan perbezaan ekonomi antara golongan miskin dan masyarakat lain iaitu pendapatan, pemilikan dan kerjaya dan seterusnya struktur stratifikasi masyarakat.

Terdapat 3 jenis kemiskinan yang akan dibincangkan disini iaitu;

Pertama, Konsep kemiskinan mutlak merupakan satu konsep yang menggunakan satu ukuran yang menggunakan jumlah pendapatan isi rumah sebagai kayu ukur garis kemiskinan sesebuah masyarakat. Kemiskinan mutlak adalah bersifat mutlak dengan diwakili oleh jumlah pendapat isi rumah yang secara jelas dapat menggambarkan kuasa beli yang ada pada keluarga terlibat sekaligus memberi kesan kepada kepenggunaannya. Pendapatan yang kurang akan mengakibatkan kuasa beli dan kepenggunaan menurun seterusnya akan menjejaskan keselesaan dalam kehidupan seharian.

Kedua, Konsep kemiskinan relatif pula ialah konsep kemiskinan yang dilakukan dengan membandingkan purata pendapatan dan bahagian pendapatan daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) antara berbagai-bagai kumpulan penduduk sama ada mengikut purata pendapatan, etnik, kawasan kediaman dan sebagainya. Melalui cara ini mereka yang dianggap miskin ialah golongan yang menerima pendapatan paling rendah dari segi agihan pendapatan negara.

Ketiga, Konsep kemiskinan psikologi-sosial juga dapat digunakan untuk mengetahui ukuran kemiskinan. Pendekatan ini dikenali juga sebagai ‘teori psikologikal’ digelar oleh Frank atau ‘psikodinamik’ oleh Havens. Teori ini memberikan tumpuan utama kepada aspek kehidupan dan keperibadian individu itu sendiri. Ianya adalah meliputi ciri-ciri sosial, budaya dan psikologi individu yang dianggap penting serta boleh menggalakkan modenisasi dan pembangunan ekonomi masyarakat tersebut. Dengan kata lain, peranan ‘character dan personality’ individu sebagai faktor yang akan membawa kepada perubahan.

by,
Fourtin Dinsim.