Konsep kelas sosial ini adalah berkaitan dengan kedudukan sesuatu kolompok dalam masyarakat. Dalam kehidupan seharian, kelas sosial bolehlah dikatakan segolongan individu yang mempunyai kedudukan yang sama dari segi kuasa, politik, kekayaan, pendapatan, martabat dan pekerjaan. Konsep mobiliti sosial merupakan satu proses perubahan individu atau kelompok dari satu lapisan sosial kepada lapisan sosial yang lain dalam satu sistem stratifikasi sosial. Mobiliti sosial adalah berkait rapat dengan struktur sosial dalam masyarakat. Dalam sistem yang lebih terbuka, peluang untuk mobiliti sosial adalah lebih terbuka. Sebaliknya sistem tertutup seperti dalam sistem kasta yang bercorak tradisi, mobiliti sosial jarang berlaku. Diskriminasi pula perbuatan membanding dan membezakan seseorang individu atau sesuatu kelompok etnik lain berasaskan ciri-ciri etnik semata-mata. Dalam pendidikan, ketaksamaan peluang pendidikan juga merupakan satu bentuk diskriminasi yang perlu dielakkan.
Diskriminasi dan ketaksamaan peluang pendidikan masyarakat telah wujud sejak munculnya kelas sosial masyarakat dari sistem feudal lagi. Rakyat bawahan dan golongan pembesar dan istana menerima sistem pendidikan yang berbeza. Pihak penjajah kemudiannya meneruskan dasar yang sama yang mana anak-anak pembesar dan pentadbir diberi peluang untuk belajar disekolah yang dikhaskan. Akhirnya golongan pembesar ini mewariskan kecerdikkan mereka kepada anak-anak dan sebaliknya anak petani dan orang kampung terus ketinggalan dalam bidang pendidikan.
Menurut Max Weber (1903) dimana beliau telah mengatakan terdapat lima kelas sosial iaitu golongan atasan atau orang kaya dan ahli korporat. Mereka ini juga dikenali sebagai golongan bangsawan. Golongan kedua adalah golongan pertengahan atasan iaitu yang berpendidikan tinggi, profesional dan memegang jawatan yang baik di dalam sesuatu organisasi. Mereka ini kebanyakkan terdiri daripada golongan pembesar yang menguruskan hal pentadbiran negara. Golongan ketiga pula adalah golongan pertengahan bawahan yang mana mereka terdiri daripada lulusan sekolah menengah dan sedikit pemegang sijil serta pekerja kolar biru yang berpendidikan SPM dan PMR. Golongan terakhir adalah golongan bawahan yang terdiri daripada mereka yang mempunyai kelulusan yang amat rendah dan tidak pernah langsung melalui pendidikan formal.
Menurut Saifuddin Hj Masduki (1977) dalam kajiannya mendapati terdapat hubungan signifikan antara pencapaian akademik dengan pendapatan ibu bapa dan tahap pendidikan ibu bapa. Beliau mendapati kedua-dua hubungan adalah positif, iaitu semakin tinggi pendapatan ibu bapa dan tahap pendidikan mereka, semakin tinggi tahap pencapaian akademik anak-anak mereka. Kajian ini membuktikan bahawa tahap pendidikan yang secukupnya perlu diberikan kepada murid agar ekonomi mereka juga terus bertambah baik. Manakala menurut Rusli Md Zain (1998), dalam kajiannya melaporkan terdapat hubungan positif diantara pencapaian akademik dengan pendapatan keluarga. Ini kerana mereka yang berpendapatan tinggi memenuhi segala perbelanjaan persekolahan anak-anak mereka.
Faktor kelas sosial yang jelas mempengaruhi pencapaian akademik pelajar seperti tahap ekonomi sama ada pelajar miskin dan pelajar berada. Pelajar yang berada tentunya menerima peluang pendidikan yang lebih baik. Tahap kesihatan, makanan berkhasiat dan kawalan penyakit menjadi faktor kepada penerimaan peluang belajar dalam kalangan pelajar.
By,
Fourtin Dinsim.
SENARAI RUJUKAN
1. Syed Ismail bin Syed Mustaffa dan Ahmad Subki bin Miskon (2010). Budaya dan Pembelajaran. Ipoh: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd
2. Naim Manaf (2008), Ketidaksamaan Peluang Pendidikan. Retrieve on Januari 29, 2016 from Slideshare.net
3. Zulfakhri Hassan (2015), Ketaksamaan Peluang Pendidikan Di Malaysia. Retrieved on Jan 28, 2016, from http://www.academia.edu/11678471/Ketaksamaan-Peluang-Pendidikan-di-Malaysia.
No comments:
Post a Comment