Tuesday, May 17, 2016

BAGAIMANA UNTUK MEMPERTINGKATKAN PENDAPATAN PENDUDUK LUAR BANDAR??

PERANAN KERAJAAN DALAM MEMPERTINGKATKAN PENDAPATAN PENDUDUK LUAR BANDAR

Bagi mempertingkatkan kedudukan ekonomi dan pendapatan penduduk di luar bandar, kerajaan telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru pada tahun 1970 oleh Yang Amat Berhormat Tun Abdul Razak (Perdana Menteri Kedua) iaitu melalui Rancangan Malaysia Kedua. Matlamat utamanya ialah perpaduan negara selain itu juga bertujuan untuk menyusun semula ketidakseimbangan sosio-ekonomi yang wujud di negara ini. Menyedari hakikat bahawa pengagihan ekonomi yang seimbang penting demi mewujudkan sebuah negara yang bersatu padu, serta mengambil kira kemiskinan serta ketidakupayaan sesetengah kaum untuk bersaing dengan kaum yang lain maka DEB telah dirancang untuk memperbaiki keadaan ini. Penubuhan Dasar Ekonomi Baru dijalankan menerusi serampang dua mata penyusunan semula masyarakat untuk mengurangkan dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi dan pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum. Bagi mencapai matlamat, kerajaan telah melaksanakan pelbagai perkhidmatan dan kemudahan awam melalui kemudahan pendidikan, kesihatan, bekalan air dan elektrik. Di samping itu, keutamaan juga diberikan kepada golongan miskin untuk mendapatkan bantuan seperti program bantuan subsidi baja, biasiswa pelajaran dan buku teks, makanan tambahan kepada kanak-kanak serta program rumah murah. Menjelang tarikh akhir pelaksanaan DEB, matlamat untuk membasmi kemiskinan telah tercapai.

Kerajaan juga telah memperkenalkan Gerakan Desa Wawasan telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri Dato Seri Dr. Mahathir bin Mohamad di Kampung FELCRA Seberang Perak, Daerah Hilir Perak pada 4 Julai 1996. Gerakan ini menekankan kepada penglibatan penduduk desa itu sendiri dalam proses perancangan program pembangunan kearah menjadikan desa lebih maju, menarik dan menguntungkan. Gerakan Desa Wawasan adalah usaha yang tersusun yang dibuat secara berterusan untuk menukar sikap penduduk desa dan budaya pertanian tradisional kepada amalan nilai hidup pertanian komersial serta perindustrian (Gerakan Desa Wawasan, 1996). Melalui pelbagai langkah yang telah disediakan oleh pihak kerajaan ini, ia akan mempertingkatkan lagi sumber pendapatan penduduk luar bandar. Peningkatan pendapatan sesebuah penduduk akan menggalakkan anak-anak di luar bandar meneruskan sesi persekolahan formal seperti biasa dan seterusnya akan mengelakkan ketidaksamaan peluang pendidikan di luar bandar.



PERANAN INSTITUSI KELUARGA DALAM MENINGKATKAN PENDAPATAN PENDUDUK LUAR BANDAR

Ketua keluarga memainkan peranan yang sangat penting dalam mempertingkatkan keadaan ekonomi dan sumber pendapatan dalam sesebuah keluarga. Para ibu bapa pada masa sekarang sepatutnya tidak boleh memilih jenis pekerjaan memandangkan kos dalam kehidupan seharian semakin meningkat. Sebagai ketua keluarga, seharusnya pandai mencari peluang pekerjaan samada di bandar ataupun luar bandar. Seperti di bandar, banyak peluang pekerjaan seperti di kilang, tapak pembinaan, dalam sektor perkhidmatan dan perhubungan. Pekerjaan di desa adalah seperti menjalankan aktiviti pertanian komersial seperti penanaman lada, getah, koko dan sebagai nelayan. Kesemua jenis pekerjaan ini akan memjana sumber pendapatan kepada sesebuah institusi keluarga berkenaan. Dengan adanya sumber pendapatan yang mencukupi adalah tidak menjadi halangan kepada anak-anak untuk menjalankan aktiviti persekolahan formal. Melalui sumber pendapatan juga akan dapat merapatkan jurang pendidikan di luar bandar dengan bandar dan seterusnya akan mengurangkan ketidaksamaan peluang pendidkan antara luar bandar dan bandar.



PERANAN MASYARAKAT DALAM MENINGKATKAN PENDAPATAN PENDUDUK LUAR BANDAR

Penglibatan sesebuah masyarakat, pertubuhan sukarela dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan kegiatan ekonomi penduduk di luar bandar. Pihak pertubuhan bukan kerajaan boleh menganjurkan pelbagai bentuk pameran ataupun “road show” yang berkaitan dengan peluang pekerjaan daripada syarikat pengeluaran, kilang-kilang pembuatan dan sebagainya. Dengan adanya “road show” seperti ini akan menggalakkan penduduk kawasan luar bandar untuk sama-sama menceburi dalam bidang pekerjaan berkenaan. Selain itu, badan pertubuhan sukarela juga boleh membuat bancian penduduk yang miskin dan kurang mampu untuk membuat permohonan elaun bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Selain itu, badan korporat yang lain juga boleh menjalankan tanggungjawab sosial dengan memberikan peruntukan insentif dan biasiswa pendidikan kepada pelajar di luar bandar. Dengan adanya komitmen dan kerjasama erat daripada badan swasta, maka jurang ataupun ketidaksamaan peluang pendidikan di luar bandar dapat diatasi.


by,
Fourtin Dinsim.




SENARAI RUJUKAN

1. Zulfakhri Hassan (2015), Ketaksamaan Peluang Pendidikan Di Malaysia. Retrieved on Jan 28, 2016, from http://www.academia.edu/11678471/Ketaksamaan-Peluang-Pendidikan-di-Malaysia.

2. Syed Ismail bin Syed Mustaffa dan Ahmad Subki bin Miskon (2010). Budaya dan Pembelajaran. Ipoh: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd

3. Naim Manaf (2008), Ketidaksamaan Peluang Pendidikan. Retrieve on Januari 29, 2016 from Slideshare.net

KETIDAKSAMAAN PELUANG PENDIDIKAN DISEBABKAN OLEH KELAS SOSIAL DALAM MASYARAKAT


Konsep kelas sosial ini adalah berkaitan dengan kedudukan sesuatu kolompok dalam masyarakat. Dalam kehidupan seharian, kelas sosial bolehlah dikatakan segolongan individu yang mempunyai kedudukan yang sama dari segi kuasa, politik, kekayaan, pendapatan, martabat dan pekerjaan. Konsep mobiliti sosial merupakan satu proses perubahan individu atau kelompok dari satu lapisan sosial kepada lapisan sosial yang lain dalam satu sistem stratifikasi sosial. Mobiliti sosial adalah berkait rapat dengan struktur sosial dalam masyarakat. Dalam sistem yang lebih terbuka, peluang untuk mobiliti sosial adalah lebih terbuka. Sebaliknya sistem tertutup seperti dalam sistem kasta yang bercorak tradisi, mobiliti sosial jarang berlaku. Diskriminasi pula perbuatan membanding dan membezakan seseorang individu atau sesuatu kelompok etnik lain berasaskan ciri-ciri etnik semata-mata. Dalam pendidikan, ketaksamaan peluang pendidikan juga merupakan satu bentuk diskriminasi yang perlu dielakkan.

Diskriminasi dan ketaksamaan peluang pendidikan masyarakat telah wujud sejak munculnya kelas sosial masyarakat dari sistem feudal lagi. Rakyat bawahan dan golongan pembesar dan istana menerima sistem pendidikan yang berbeza. Pihak penjajah kemudiannya meneruskan dasar yang sama yang mana anak-anak pembesar dan pentadbir diberi peluang untuk belajar disekolah yang dikhaskan. Akhirnya golongan pembesar ini mewariskan kecerdikkan mereka kepada anak-anak dan sebaliknya anak petani dan orang kampung terus ketinggalan dalam bidang pendidikan.

Menurut Max Weber (1903) dimana beliau telah mengatakan terdapat lima kelas sosial iaitu golongan atasan atau orang kaya dan ahli korporat. Mereka ini juga dikenali sebagai golongan bangsawan. Golongan kedua adalah golongan pertengahan atasan iaitu yang berpendidikan tinggi, profesional dan memegang jawatan yang baik di dalam sesuatu organisasi. Mereka ini kebanyakkan terdiri daripada golongan pembesar yang menguruskan hal pentadbiran negara. Golongan ketiga pula adalah golongan pertengahan bawahan yang mana mereka terdiri daripada lulusan sekolah menengah dan sedikit pemegang sijil serta pekerja kolar biru yang berpendidikan SPM dan PMR. Golongan terakhir adalah golongan bawahan yang terdiri daripada mereka yang mempunyai kelulusan yang amat rendah dan tidak pernah langsung melalui pendidikan formal.

Menurut Saifuddin Hj Masduki (1977) dalam kajiannya mendapati terdapat hubungan signifikan antara pencapaian akademik dengan pendapatan ibu bapa dan tahap pendidikan ibu bapa. Beliau mendapati kedua-dua hubungan adalah positif, iaitu semakin tinggi pendapatan ibu bapa dan tahap pendidikan mereka, semakin tinggi tahap pencapaian akademik anak-anak mereka. Kajian ini membuktikan bahawa tahap pendidikan yang secukupnya perlu diberikan kepada murid agar ekonomi mereka juga terus bertambah baik. Manakala menurut Rusli Md Zain (1998), dalam kajiannya melaporkan terdapat hubungan positif diantara pencapaian akademik dengan pendapatan keluarga. Ini kerana mereka yang berpendapatan tinggi memenuhi segala perbelanjaan persekolahan anak-anak mereka.

Faktor kelas sosial yang jelas mempengaruhi pencapaian akademik pelajar seperti tahap ekonomi sama ada pelajar miskin dan pelajar berada. Pelajar yang berada tentunya menerima peluang pendidikan yang lebih baik. Tahap kesihatan, makanan berkhasiat dan kawalan penyakit menjadi faktor kepada penerimaan peluang belajar dalam kalangan pelajar.

By,
Fourtin Dinsim.





SENARAI RUJUKAN

1. Syed Ismail bin Syed Mustaffa dan Ahmad Subki bin Miskon (2010). Budaya dan Pembelajaran. Ipoh: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd

2. Naim Manaf (2008), Ketidaksamaan Peluang Pendidikan. Retrieve on Januari 29, 2016 from Slideshare.net

3. Zulfakhri Hassan (2015), Ketaksamaan Peluang Pendidikan Di Malaysia. Retrieved on Jan 28, 2016, from http://www.academia.edu/11678471/Ketaksamaan-Peluang-Pendidikan-di-Malaysia.