Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi kemerosotan nilai-nilai mulia di kalangan remaja masa kini. Berikut merupakan faktor-faktor yang telah dibincangkan.
i. Pengaruh rakan, persekitaran dan gaya hidup moden.
Rakan sebaya merupakan satu faktor yang mempengaruhi proses sosialisasi. Pengaruh keluarga semakin merosot apabila kanak-kanak meningkat remaja. Apabila mereka menjadi semakin dewasa, kumpulan sebaya menjadi pengaruh yang lebih berkesan dalam proses pembentukan budi pekerti mereka. Oleh kerana keperluan untuk diterima oleh kumpulan sebaya amat penting kepadanya, seseorang remaja akan menepati norma dan nilai yang ditonjolkan oleh kumpulan tertentu. Ini boleh membawa sama ada kesan positif ataupun negatif. Cara berpakaian, fesyen rambut dan sifat seseorang boleh dipengaruhi oleh kegemaran dan khayalan kumpulan tersebut.
Menurut Albert Bandura (1997) melalui Teori Pembelajaran Sosial, perilaku kebanyakan orang dipelajari dengan cara pemerhatian melalui tauladan. Dengan memerhati perilaku orang lain, mereka belajar bagaimana ianya dilakukan dan kemudian mengambilnya sebagai panduan kepada perilaku sendiri. Perlakuan orang dewasa yang lain, rakan sebaya dan punca-punca simbolik yang lain ditiru oleh orang lain terutamanya golongan kanak-kanak. Pengaruh kumpulan sebaya pula menjadi lebih utama di peringkat remaja.
Kumpulan remaja merupakan satu punca nilai-nilai dan akan memainkan peranan yang utama dalam menentukan kedudukan nilai yang diterima dan diamalkan oleh seseorang individu terutamanya mengenai corak dan tingkahlaku yang mereka anggap perlu dipatuhi. Walaupun pengaruh kumpulan sebaya amat mempengaruhi di peringkat remaja, ia juga berperanan penting dalam pelbagai peringkat umur. Ia juga penting di peringkat ‘geng’ iaitu semasa kanak-kanak berumur antara tujuh tahun. Piaget mengatakan bahawa bukan sahaja pembelajaran yang berlaku di antara rakan sebaya, tetapi juga merupakan prasyarat bagi perkembangan autonomi. Sebaliknya Kohlberg menyatakan bahawa perkembangan moral di kalangan kanak-kanak yang dipencil atau diasingkan adalah tidak berbeza daripada kanak-kanak yang banyak menerima pendedahan.
Pengaruh persekitaran juga merupakan antara faktor wujudnya kemerosotan nilai-nilai mulia. Tayangan filem yang diimport khususnya dari Barat yang mengandungi elemen yang tidak bermoral, berunsur ganas dan seks boleh mempengaruhi pemikiran dan membangkitkan keinginan remaja untuk meniru perbuatan yang dipaparkan melalui rancangan televisyen atau filem. Hal ini sedikit sebanyak menjadi punca keterlibatan remaja dalam kes-kes salah laku di sekolah ataupon di luar.
Pengaruh gaya hidup moden, terutamanya di bandar besar merupakan bentuk pengaruh negatif yang datang ke dalam hidup remaja. Oleh itu, terdapat percanggahan di antara budaya sekolah yang bersifat murni dengan budaya di luar sekolah yang memberi pengaruh besar serta mencabar tingkah laku dan perlakuan remaja. Pertentangan ini boleh menyebabkan berlakunya salah laku remaja.
ii. Kurang Kesedaran ibu bapa.
Rumah adalah tempat paling baik untuk memulakan pendidikan. Ibu bapa sebagai ketua keluarga perlu untuk menunjukkan contoh yang terbaik bagi anak-anak. Ibu bapa perlu mempraktikkan semula nilai-nilai murni dan budi bahasa yang menjadi warisan generasi terdahulu. Kesibukan bekerja bukan alasan untuk memupuk ciri-ciri keperibadian yang luhur samada untuk diri sendiri ataupun untuk anak-anak dengan sempurna. Merujuk Majalah Dewan Masyrakat keluaran Oktober 2006 dalam membicarakan isu gothic dikalangan remaja belasan tahun sekitar Kuala Lumpur.
Kebanyakan remaja ini menjadikan alasan bosan dengan kesibukan ibu bapa bekerja sehingga tiada masa untuk bersama anak-anak antara faktor mereka terjebak dengan gejala seumpama itu. Selain itu, tidak dinafikan faktor kurangnya didikan agama dan adat budaya ketimuran di rumah mereka sehinggakan mereka memilih budaya luar sebagai cara hidup mereka. Remaja ini pada mulanya hanya suka-suka dan ikut-ikut akhirnya menjadi budaya yang sukar dikikis dan lebih malang lagi apabila melibatkan masalah aqidah.
iii. Jurang Ekonomi antara masyarakat terlalu ketara.
Tanpa ekonomi yang mantap dalam sesebuah keluarga, kehidupan akan melarat dan berlakulah kejadian seperti mencuri, menyamun, memasuki kumpulan haram (kongsi gelap), menipu dan sebagainya. Para remaja yang terjebak dalam masalah ini tidak takut dengan sebarang undang-undang yang ada. Bagi mereka, kehidupan adalah untuk menikmati segala bentuk kesenangan dan dapat berseronok (enjoy).
Tekanan hidup, sikap mengejar kemewahan serta penglibatan aktiviti sosial yang lain menyebabkan ibubapa dan anak-anak kurang mempunyai masa atau kesempatan untuk bercakap, berbincang dan berdamping antara satu sama lain. Malah ada yang jarang bersua muka. Keadaan ini menyebabkan remaja membawa cara hidup sendiri tanpa panduan dan pengawasan ibubapa.Mereka sebagai ibubapa janganlah terlalu taksub degan dunia pekerjaan sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai ibu bapa untuk mendidik anak-anak.
Antara faktor lain yang boleh dikaitkan dengan keruntuhan akhlak remaja adalah penglibatan dalam jenayah. Remaja yang terlibat dalam jenayah bukan sahaja datang daripada keluarga yang miskin tetapi juga keluarga berada, malah segelintir daripada mereka berasal daripada keluarga yang mempunyai latar belakang yang baik.
Justeru, bolehlah dikatakan juga bahawa punca-punca keruntuhan akhlak yang utama selain kemerosotan dari segi asuhan, didikan, bimbingan serta kawalan oleh ibu bapa atau penjaga,tekanan hidup, sikap mengejar kemewahan serta penglibatan dalam aktiviti sosial lain yang menyebabkan ibu bapa dan anak kurang meluangkan waktu bersama atau kesempatan untuk bercakap, berbincang, berdamping antara satu sama lain.
Keluarga yang terlalu mewah cara hidupnya juga menyebabkan keruntuhan disiplin remaja. Sebagai contoh, ibu bapa yang terlalu memanjakan anak-anak kerap memberikan wang saku yang terlalu banyak. Perbuatan ini menyebabkan mereka mudah dipengaruhi oleh remaja lain yang bersuka-suka. Kesan pergaulan bebas dan terpengaruh dengan rakan-rakan sebaya yang rosak akhlak akan memburukkan lagi keadaan. Juga sikap ibu bapa yang tidak mengambil berat tentang kelakukan dan pergaulan anak remaja mendorong pada kerosakkan ahklak. Remaja yang terlalu awal terdedah kepada alam masyarakat yang mempunyai sikap yang kompleks tanpa bimbingan mencukupi daripada ibu bapa juga merupakan salah satu faktor keruntuhan akhlak.
Kegawatan ekonomi juga antara sebab keruntuhan akhlak yang boleh dikatakan punca hubungan kekeluargaan didalam alam rumah tangga yang tidak teratur, perpisahan ibu bapa, pertengkaran yang kerap berlaku dalam keluarga, keadaan sosio-ekonomi yang sempit, suasana rumah tangga yang tidak harmonis dan tenteram serta tidak keupayaan pihak penjaga mengawasi pendidikan anak-anaknya boleh juga membawa kepada kancah keruntuhan moral.
Kesimpulannya, ibu bapa perlu memantau keadaan anak-anak mereka supaya tidak ,mudah terjebak di dalam aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah. selain itu, pelbagai pihak juga perlu berganding bahu untuk memikirkan penyelesaian masalah yang dihadapi untuk menggelakkan perkara ini daripada berterusan. Sesunggunya, anak-anak merupakan aset yang bernilai daripada harta benda dan wang ringgit.Mereka inilah yang kan memimpin negara pada suatu hari nanti kelak.
iv. Kurang didikan agama.
Agama adalah tunjang kehidupan manusia. Semua agama mengajar kepada kepada kebaikan dan tatasusila serta nilai-nilai murni yang harus diamalkan pengikutnya tidak kira Islam, Kristian, Budhha mahupun Hindu. Kurang didikan agama merupakan antara punca kemerosotan nilai-nilai mulia kerana kurang pemahaman oleh remaja itu sendiri tentang nilai-nilai itu sendiri.
Ibu bapa berperanan memberikan didikan agama yang secukupnya kepada anak-anak. Pengajaran ilmu-ilmu agama dan nilai-nilai murni selaras dengan norma masyarakat pada hari ini amat penting dalam memastikan kerohanian yang mantap dalam diri anak-anak. Ingatlah “Segala-galanya bermula dirumah” begitulah falsafah tokoh philosophi terkenal, Franklin D. Roosevert. Maka ibu bapalah yang bertindak sebagai agen pencorak utama karektor anak-anak. Didikan agama yang cukup dapat melahirkan anak-anak yang dapat membezakan antara baik dan buruk serta mempunyai jati diri yang utuh untuk melawan serangan-serangan pemikiran dan budaya negatif. Selain itu, tekanan hidup, sikap mengejar kemewahan serta mengejar aktiviti sosial lain boleh menyebabkan kemerosotan nilai-nilai murni bila ia tidak berteraskan agama. Apabila jati diri kurang dalam diri remaja dan ditambah pula faktor jarang besua muka, maka remaja membawa haluan hidup sendiri tanpa pengawasan ibu bapa.
Zaman remaja merupakan zaman yang sangat menyeronokkan bagi setiap individu. Pada zaman remaja, seseorang individu sudah semestinya ingin mencuba pelbagai benda dalam kehidupan mereka. Kehidupan zaman remaja seolah-olah memberikan kebebasan yang sepenuhnya untuk melakukan pelbagai perkara. Oleh sebab itu, tidak mustahil seseorang remaja boleh terjebak ke dalam gejala sosial. Jika kita teliti dengan mendalam terdapat banyak punca kenapa golongan remaja telah hilang nilai-nilai murni
apabila perkara-perkara yang ingin dicuba tidak dibenarkan agama atau hanya mengetahui separuh sahaja dari ajaran agama. Contonya, bagi yang beragama Islam, zina adalah haram. Mereka tahu ia haram tetapi mereka tidak menjauhkan diri atau tidak dapat menahan diri apabila mereka mabuk. Mereka merasakan dosa minum arak adalah tidak seberat zina. Jadi memikirkan mereka hanya minum arak dan mereka tidak melakukan zina mereka menghalalkan sendiri tindakan minum minuman keras itu. Walhal minuman keras sebenarnya boleh menyebabkan zina berlaku kerana tidak menyedari tindakan sendiri bila sudah mabuk.
Selain dari faktor kurang didikan agama dari ibu bapa, remaja sendiri merupakan sebab berlakunya kemerosotan nilai-nilai murni. Kebanyakan remaja yang terlibat dalam gejala sosial tidak mempunyai didikan agama dan moral yang mendalam walaupun ibu bapa telah mengambil tindakan sewajarnya dengan menghantar anak-anak ke program-program kerohanian bagi menstabilkan antara unsur rohani, mental dan fizikal. Mereka tidak takut pada dosa atau pembalasan Tuhan di atas perbuatan mereka. Remaja terbabit juga biasanya tidak sembahyang dan mengingkari perintah agama yang lain. Mereka berpendapat bahawa, kehidupan masa remaja perlu diisi dengan hiburan dan keseronokan semata-mata. Kekurangan nilai agama di dalam diri remaja menyebabkan mereka senang terpengaruh dengan media massa sememangnya tidak dapat disangkal lagi. Remaja cenderung untuk melakukan perkara yang pernah didengar atau dilihat di media massa kerana remaja mempunyai naluri ingin mencuba. Sebenarnya sikap ingin mencuba ini adalah sikap yang baik tetapi bukan semua perkara boleh dicuba sewenang-wenangnya. Remaja tidak mahu menilai kebaikan dan keburukan sesuatu perkara yang diperolehi melalui media massa.
v. Institusi keluarga yang goyah.
Keluarga boleh dikaitkan dengan adanya ibu, bapa dan anak-anak disekelilingnya. Namun bila berlaku pecah belah sebuah keluarga itu akan dianggap pincang dan tidak sempurna. Keluarga merupakan orang yang paling rapat dengan remaja bermula dengan hubungan ibu, bapa, abang, kakak mahupun adik. Keluarga sepatutnya peka terhadap perkembangan moral seseorang anak-anak remaja dan memainkan peranan yang penting dalam proses sosialisasi individu. Ibu bapa perlu menunjukkan teladan yang baik dan menerapkan nilai-nilai murni kerana anak-anak terdorong untuk mencontohi perlakuan ibu bapa mereka. Bak kata pepatah Melayu, bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Ibu bapa perlulah terlebih dahulu membudayakan nilai-nilai mulia seperti bersopan santun, menghormati orang tua, atau penyayang agar anak-anak terdorong mencontohi sifat-sifat tersebut.
Keluarga yang berpecah belah akan secara tidak langsung memberi kebebasan kepada remaja. Lantaran kesibukan kerja, tugasan mengasuh itu diserahkan sepenuhnya kepada pembantu rumah. Ibu bapa yang berfikiran dapat mengalihkan pandangan anak-anak dari keluarga yang tidak sempurna kepada kesempurnaan. Keluarga yang berkemampuan dari segi harta pula memberikan kemewahan yang keterlaluan dan akan menyebabkan cara hidup anak-anak mengalami kemerosotan nilai-nilai murni disebabkan keruntuhan disiplin mereka sendiri. Ibu bapa yang terlalu memanjakan anak-anak dengan kerap memberikan wang saku yang terlalu banyak dengan alasan tidak dapat meluangkan masa bersama mereka akan memberi lebih kebebasan dan ini memburukkan lagi keadaan.
Hubungan keluarga yang tidak teratur, perpisahan ibu bapa, pertengkaran yang kerap berlaku dalam keluarga, keadaan sosio-ekonomi yang sempit, suasana rumah yang tidak harmonis serta tiada keupayaan pihak penjaga mengawasi pendidikan anak-anak juga boleh membawa kepada kancah keruntuhan nilai-nilai murni. Ibu bapa dan keluarga yang berkonflik turut memberi kesan emosi dan tekanan kepada anak-anak remaja kerana tidak mendapat hak sepenuhnya seperti kasih sayang dan perhatian. Pada masa yang sama mereka bimbang konflik ini menyebabkan perceraian ibu bapa. Ibu bapa yang berkonflik akan melepaskan perasaan terhadap anak-anak. Akibatnya mereka hilang sifat hormat kepada ibu bapa. Ada segelintir ibu bapa begitu sibuk dengan kerjaya bagi menambahkan pendapatan sehingga anak-anak terabai dan tidak mendapat kasih sayang yang secukupnya. Sikap ibu bapa ini menyebabkan anak-anak tidak mendapat perhatian yang sewajarnya lalu mereka melakukan perkara-perkara tidak berfaedah untuk mehilangkan kebosanan. Jadi mereka cenderung mencari keseronokan diluar dan seterusnya terjebak dengan budaya lepak, merempit dan mengujungi pusat hiburan. Dalam sesetengah kes, ada anak-anak ini yang sengaja untuk berperangai sedemikian demi mendapatkan perhatian ibu bapa mereka yang sentiasa sibuk.
LANGKAH MENGATASI
Perbincangan mengenai keruntuhan akhlak remaja adalah berkisar isu pelajar remaja. Justeru, strategi mengatasi masalah seharusnya ditumpukan pada golongan remaja ini. Beberapa saranan atau cara bagi mengatasi keruntuhan sosial remaja di antaranya seperti berikut :-
(i) Peranan Ibu Bapa.
Peranan ibu bapa adalah amat penting dalam memberikan perhatian yang serius terhadap anak-anak mereka. Ibu bapa hendaklah sentiasa memerhatikan setiap gerak geri atau pergerakan anak-anak mereka. Ibu bapa hendaklah sentiasa mengetahui dan mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka serta sanggup meluangkan masa untuk mengatasi masalah tersebut. Ibu bapa seharusnya mengetahui rakan-rakan anak mereka yang mempunyai kedudukaan moral yang baik. Selain itu ibu bapa juga hendaklah menghabiskan sebahagian daripada masa seharian bersama anak-anak mereka dengan memberikan keyakinan, keberanian, mewujudkan sikap positif terhadap masalah, emosi dan keputusan. Selain itu tingkatkan penghayatan anak-anak terhadap agama, tanamkan nilai-nilai murni, motivasi, melatih anak cara bersopan, prinsip-prinsip akauntabiliti, menepati janji, berketerampilan, menunjukkan keperibadian yang mulia. amanah, sanggup menerima kelemahan diri serta meneroka potensi anak. Ibu bapa hendaklah menjadi role model kepada anak-anak.
(ii) Pendidikan Keibubapaan.
Pendidikan keibubapaan perlu diperkembangkan dengan cara yang lebih berkesan sehingga keupayaan pendidikan anak-anak dalam institusi keluarga dapat diperkemaskan. Amalan keibubapaan islam hendaklah dipraktikkan melalui bimbingan langsung dari masjid. Remaja yang bermasalah di qariah boleh dijadikan sasaran yang terawal untuk membina model nyata untuk dikembangkan dalam masyarakat.
(iii) Pendekatan Akademik.
Ini boleh dilakukan dengan menambahkan aktiviti-aktiviti berteraskan akademik dan separa akademik seperti kegiatan ko-kurikulum di sekolah. Begitu juga dengan perubahan-perubahan teknik-teknik pengajaran seperti pengunaan komputer, video, bantuan alat pandang dengar dan teknik pengajran luar kelas. Hendaklah diusahakan agar terbentuk bi'ah solehah dalam masyarakat untuk memperkukuhkan pendidikan akhlak dikalangan remaja.
Kokurikulum pendidikan negara hendaklah ke arah menambahkan proses ke ' islam 'an lebih dari proses kecemerlangan akademik semata-mata. Kumpulan penggubal kokurukulum pendidikan negara hendaklah menambahkan keanggotaan mereka yang ahli dalam ilmu islam dan tidak hanya di dominasikan oleh mereka yang dididik dalam bidang sekular.
(iv) Mewujudkan sistem perundangan di sekolah.
Peruntukan undang-undang di peringkat sekolah boleh menimbulkan rasa takut dikalangan pelajar sekolah, disamping mengurangkan beban dan tanggungjawab pihak sekolah dan pihak ibubapa dalam pengawalan disiplin.Meningkatkan semula pengawalan disiplin dari peringkat awalan oleh semua pihak dalam sekolah seperti yang dahulunya pernah dipertegaskan dalam sistem pembentukan disiplin pelajar. Kawalan diperingkat awal pasti dilaksanakan, semua pihak hendalah ' turun padang ' dengan ertikata sebenar untuk mengatasi masalah disiplin remaja pada masa kini.
(v) Peranan badan-badan bukan kerajaan (NGO).
Koordiansi antara badan-badan NGO untuk bertindak dengan berkesan mengatasi masalah remaja perlu diusahakan supaya lebih banyak badan-badan tampil kehadapan dengan berani untuk memperbetulkan keadaan. Pihak NGO perlu banyak melaksanakan program dengan Jabatan Agama bagi membentuk sahsiah masyarakat.
(vi) Pelaksanaan program khusus untuk golongan remaja.
Program yang khusus untuk golongan remaja perlu diperbanyakkan bagi membentuk sahsiah diri remaja. Melalui program-program ini, nilai-nilai murni dapat diselitkan dalam diri remaja dan menjadi amalan mereka. Program khidmat negara adalah salah satu usaha untuk mengatasi masalah remaja dengan penglibatan daripada remaja itu sendiri. Contoh lain adalah seperti program Rakan Muda, 1M4U dan sebagainya.
(vii) Penguatkuasaan undang-undang.
Penguatkuasaan undang-undang oleh pihak berkuasa seperti polis, yang mana bidang kuasa polis yang sedia ada perlu digunakan oleh pihak pentadbir sekolah dalam mendisiplinkan pelajar yang bemasalah. Dimana kes pelajar tersebut akan dirurjuk kepada pihak polis sebagai penyelesaian yang terakhir.
(viii) Penguatkuasaan undang-undang.
Langkah-langkah pencegahan yang bersesuaian hendaklah diadakan seperti kaunseling di peringkat sekolah. Kaunseling di peringkat sekolah adalah penting dalam membantu remaja mengatasi masalah mereka. Program ini akan lebih bermakna sekiranya kaunselor-kaunselor yang berkelayakan dan berpengalaman dilantik dalam memantapkan pelaksanaan dan keberkesanan kaunseling tersebut.
KESIMPULAN
Secara keseluruhannya, nilai-nilai mulia dalam kalangan remaja yang semakin merosot pada masa ini adalah berkait rapat dengan sosiologi dan antropologi. Sosiologi atau ilmu kemasyarakatan yang telah dipelajari membantu kita memahami isu berkenaan keluarga dan masyarakat dan seterusnya membolehkan perbincangan dan cadangan penyelesaian terhadap isu kemerosotan nilai-nilai mulia di kalangan remaja masa kini. Dapat dirumuskan bahawa isu ini dipengaruhi oleh dua aspek iaitu, aspek keluarga dan juga budaya. Budaya yang diamalkan dalam suatu keluarga itu akan mempengaruhi keperibadian ahli keluarga dan budaya ini, tidak kira sama ada budaya yang berunsur positif atau negatif, akan dipelajari dan diperturunkan daripada satu generasi ke generasi yang berikutnya. Walau bagaimanapun, aspek masyarakat juga sedikit sebanyak menyumbang kepada isu kemerosotan nilai ini akibat daripada pengaruh budaya daripada luar institusi keluarga. Dalam menangani isu ini, setiap lapisan sosial perlu memainkan peranan mereka masing-masing agar nilai-nilai mulia yang kita miliki sekarang ini dapat diturunkan kepada generasi yang berikutnya.
Penulis: Fourtin Dinsim
SENARAI RUJUKAN
Selamah Abdullah Yusof Ruzita Mohd Amin, (1999),"Admired values: the case of teenagers in Malaysia", International Journal of Social Economics, Vol. 26 Iss 6 pp. 802 – 811.
Azizah Lebai Nordin (2002),Masalah Disiplin di Kalangan Remaja (Tesis Ph.D,Falkulti Pendidikan,Universiti,Malaya,Kuala Lumpur); h.36.
Dewan Masyarakat (2006). Budaya Gotchic.9-12.
Bandura, A. (1997). Social Learning Theory. New York: General Learning Press
Format Peperiksaan Bahasa Melayu Kertas 2, Bahagian C, Kementerian Pendidikan Malaysia.
Utusan Malaysia, 11 Mac 1993.