Sunday, January 31, 2016

Ketidaksamaan Peluang Pendidikan Bagi Murid Berkeperluan Khas (OKU)

Apabila menyebut mengenai murid berkeperluan khas, i menyentuh tentang murid yang memerlukan perhatian khusus daripada guru atau tenaga pendidik. Melalui penulisan Zulfakhri Hassan di laman sesawang www.academia.edu, kumpulan berkeperluan khas merujuk kepada kanak-kanak yang mengalami masalah pembelajaran dari segi intelek, jasmani, social atau emosi. Murid yang memerlukan perhatian khusus ini terdiri daripada mereka yang mempunyai masalah pembelajaran, kerencatan mental, kecelaruan tingkah laku, kecacatan pendengaran dan komunikasi, kecacatan penglihatan, kecacatan fizikal, cerdas pintar dan berbakat istimewa.
Oleh kerana mereka ini dianggap istimewa dan berbeza dengan murid normal yang lain, wujud ketaksamaan peluang pendidikan bagi kumpulan ini dan telah sedikit sebanyak menyumbang kepada wujudnya jurang pendidikan di kalangan rakyat, khususnya di Malaysia. Konteks kajian ini tidak termasuk mereka yang hilang upaya akibat kecelakaan atau kemalangan, tetapi khusus kepada yang dilahirkan sebagai anak istimewa. Menurut Simona D'Alessio dan Steven Cowan (2013), kajian menunjukkan 10% daripada populasi dunia, atau lebih kurang 650 juta penduduk merupakan golongan berkeperluan khas.
Terdapat banyak cabaran yang dialami oleh murid-murid yang berkeperluan khas ini, terutama sekali dari segi fasiliti pembelajaran. Di Malaysia, tidak banyak institusi pengajian yang menawarkan fasiliti pembelajaran kepada golongan ini. Selain itu, persepsi masyarakat terhadap golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) ini juga menjadi cabaran yang besar buat mereka. Masyarakat masih masih mempunyai persepsi bahawa golongan ini tidak boleh belajar dengan bagus dan berkerjaya. Sikap rakan sekelas yang menyisihkan pelajar OKU ini juga membuatkan semangat belajar golongan ini makin padam.
Kesedaran ibubapa merupakan cabaran yang terbesar buat golongan ini. Terdapat sesetengah ibubapa yang mempunyai anak yang berkeperluan khas beranggapan bahawa anak istimewa ini tidak layak dan tidak berkeupayaan untuk mendapat pendidikan yang sempurna dan seimbang. Hal ini selalunya terjadi di kalangan ibubapa yang tinggal di luar bandar kerana kurangnya pengetahuan dan maklumat tentang pendidikan khas yang ada. Akhirnya, anak istimewa ini terus tercicir dari arus pendidikan dan menjadi bebanan kepada keluarga.
Dalam satu kajian yang dilakukan oleh Umesh Sharma (2014) terhadap pendidikan khas di Australia, institusi pendidikan khas wujud seawal tahun 1811 dimana tertubuhnya institusi awam pertama untuk golongan yang mempunyai masalah pembelajaran. Sejarah kewujudan pendidikan kahs di Malaysia pula wujud seawal sebelum kemerdekaan negara. Ketika itu, kemudahan pendidikan khas yang ada hanya disediakan untuk komuniti kanak-kanak di peringkat sekolah rendah sahaja. Kerajaan tidak melibatkan diri secara langsung dalam menyediakan kemudahan pendidikan khas kerana tanggungjawab tersebut dipikul oleh pertubuhan sukarela.
Pada tahun 1966, kerajaan telah mewujudkan Akta Pendidikan 1966 (Akta 550) dan telah menggariskan dibawah Bab 8 – Pendidikan Khas, bahawa Menteri hendaklah mengadakan pendidikan khas di sekolah khas atau di mana-mana sekolah rendah atau menengahyang difikirkan sesuai. Selepas kemerdekaan negara, kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia telah menambahbaik bidang pendidikan khas di Malaysia dan telah mewujudkan Falsafah Pendidikan Khas. Falsafah Pendidikan Khas menyatakan “Pendidikan Khas di Malaysia adalah suatu usaha berterusan untuk melahirkan insan yang berkemahiran, berhaluan, berupaya, beriman, berdikari, mampu merancang dan menguruskan kehidupan serta menyedari potensi diri sendiri sebagai seorang individu dan ahli masyarakat yang seimbang dan produktif selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan”.
Banyak usaha yang telah dilaksanakan oleh kerajaan untuk merapatkan jurang pendidikan golongan berkeperluan khas ini dan ianya termasuklah menyediakan lebih banyak sekolah-sekolah pendidikan khas, kelas integrasi, kelas inklusif, tawaran kursus kemahiran di peringkat pengajian tinggi, pemberian elaun kepada OKU berdaftar, serta menyediakan  kelas itenvensi awal untuk kanak-kanak seawal usia 5 tahun sehingga mencecah usia 19 tahun.. Antara contoh sekolah pendidikan khas yang ternama adalah sekolah kluster Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Indahpura di Johor. Institut pengajian tinggi seperti Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti  Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan banyak lagi universiti tempatan telah mula menawarkan kursus dan kemasukan pelajar OKU.
Menurut Azarudinamri bin Mat Zainon, seorang guru pendidikan khas di SK Kampong Chamek, Kluang, Johor, bidang pendidikan khas di Malaysia telah berkembang maju dan ramai ibubapa yang mempunyai anak istimewa telah mendapat kesedaran dan pendedahan akan pentingnya bagi mereka untuk memberi anak istimewa mereka pendidikan dan kemahiran yang sewajarnya. Menurut beliau lagi, banyak kursus yang ditawarkan seperti Sijil Kemahiran Malaysia, kulinari, dandanan, elektrik, grafik, rekaan fesyen, pendidikan dan sebagainya yang mampu meningkatkan tahap kompetensi golongan ini di kalangan masyarakat.
Selain usaha daripada kerajaan, institusi keluarga dan masyarakat juga perlu memainkan peranan dalam merapatkan ketaksamaan peluang pendidikan bagi golongan berkeperluan khas di negara ini. Ibubapa perlu peka terhadap perkembangan anak istimewa mereka dan mengikis rasa malu untuk mempunyai anak yang mempunyai kelainan upaya. Guru-guru pendidikan khas pula perlu memainkan peranan mereka dalam memberikan pendidikan dan perlu bekerjasama rapat untuk mencapai objektif pendidikan khas negara. Masyarakat dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) pula harus lebih berfikiran terbuka dan merendah diri dalam memberikan bantuan dan nasihat kepada keluarga yang mempunyai anak berkeperluan khas.
Sekarang ini kita lihat telah ramai individu OKU yang berjaya dalam pelbagai bidang. Antara individu OKU yang berjaya di Malaysia adalah Tengku Arman Haris Tengku Ismail, seorang usahawan batik sutera di Terengganu. Tengku Arman yang mempunya masalah pendengaran, mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Pulau Pinang dan Sekolah Menengah Vokasional di Shah Alam, Selangor. Daripada kemahiran yang dipelajarinya, pada tahun 1996 beliau membuka perusahaan batiknya sendiri, kemudiannya menjadi presiden pertama Persatuan Kebajikan Orang Cacat Pendengaran Terengganu pada tahun 2001. Kebolehan dan pencapaian Tengku Amran telah melayakkan beliau untuk menerima pengiktirafan sebagai Tokoh OKU Bahagian Ekonomi pada tahun 2007 dan Tokoh OKU Keseluruhan pada tahun 2005.


Penulis : Fourtin Dinsim




SENARAI RUJUKAN :
1. Simona D'Alessio Steven Cowan. "Cross-Cultural Approaches to the Study of “Inclusive” and “Special Needs” Education" Annual Review of Comparative and International Education 2013. Published online: 20 Aug 2014; 227-261.
2. Umesh Sharma. "Special Education Today in Australia" Special Education International Perspectives: Practices Across the Globe. Published online: 08 Oct 2014; 623-641.
3. Kementerian Pelajaran Malaysia (2012), Dasar Pendidikan Negara (Edisi Ketiga). Selangor : Giga Wise Networl Sdn Bhd; hlm. 21.
4. Akta Pendidikan 1966 (Akta 550), Bab 8 – Pendidikan Khas.
5. Zulfakhri Hassan (2015), Ketaksamaan Peluang Pendidikan Di Malaysia. Retrieved on Jan 28, 2016, from http://www.academia.edu/11678471/Ketaksamaan-Peluang-Pendidikan-di-Malaysia.